Monday, October 18, 2010

MANUSIA DAN ANAK PATUNG KERTAS

Suatu hari di bulan Oktober. Saya leka memerhatikan dua orang kanak2 perempuan bermain Barbie doll. Entah apa yang diperkatakan mereka. Seketika mereka ketawa, dan seketika yang lain mereka bersuara dengan nada marah. Pelbagai ekspresi, imaginasi mencurah-curah. Saya tersenyum sendiri. Teringat kenangan zaman kanak2 dulu. Anak patung kegemaran saya bukanlah Barbie doll tetapi anak patung kertas yang boleh disalin ganti bajunya.

Ahh…kreatif jugak saya sewaktu bergelar kanak2. Anak patung kertas tersebut bukan saja dibeli, malah ada yang dilukis sendiri. Tidaklah cantik mana pun, tetapi cukup untuk memuaskan hati. Saya lukis wajah dan tubuh anak patung tersebut, warnakan dan gunting. Kemudian, saya siapkan beberapa pasang baju untuk setiap watak anak patung tersebut. Puas bermain, saya masukkan ke dalam plastik dan sisipkan di bawah tilam agar tidak berkeronyok. Kadang2, buku2 saya atur, saya siapkan rumah untuk anak patung tersebut. Lengkap dengan TV, telefon, katil, bilik air, bilik tidur, dapur, tangga. Kadang2, kalau tidak sempat melukis anak patung yang baru, apa2 sahaja boleh dijadikan watak2 dalam permainan saya. Pernah saya gunakan bekas ubat pensil mekanikal sebagai anak patung, dan saya gunakan kamus bergambar sebagai dunia anak patung tersebut. Haha….

Bila bercerita tentang anak patung, terlintas di fikiran saya bahawa anak patung itu adalah watak2 ciptaan kita, ciptaan manusia. Kita bebas menentukan apa sahaja untuk anak patung tersebut. Baik, jahat, cantik, buruk, kaya, miskin….segalanya kita tentukan. Anak patung tersebut tidak ada kekuatan untuk membantah apa sahaja yang ditentukan kita. Hanya membiarkan diri dan hidupnya direka oleh manusia.

Apabila direnung kembali, hati menjadi insaf. Insaf dengan kebesaran dan keadilan Tuhan. Kalau kita ditanya, mengapa anak patung A cantik tapi anak patung B buruk, mengapa anak patung C baik tapi anak patung D wataknya jahat? Kita pasti menjawab”Eh, suka hati akulah. Aku yang cipta anak patung ni. Suka hati akulah nak tentukan watak2 diorang..” Begitulah antara kita dan Tuhan Yang Maha Esa. Dialah yang telah menciptakan kita dengan kasih sayangNya, dan Dia berhak menentukan apa yang diinginkanNya ke atas hamba-hambaNya. Siapa kita untuk mempersoalkan apa yang ditentukan olehNya? Apa yang berbeza ialah manusia sangat sukar untuk bersikap adil sedangkan Allah itu Maha Adil. Diberikan kita akal untuk berfikir, dan setiap hamba yang diciptakanNya ada kelebihan dan kekurangan masing2. Kita diberi peluang untuk meminta dariNya dan Dia menganugerahkan kita apa yang terbaik untuk kita.

Cuba perhatikan watak2 ciptaan kita. Jelas sekali ketidakadilan manusia. Kebiasaannya, watak yang cantik kita sempurnakan pula dengan sifat yang baik2 seperti kartun Barbie yang sering ditayangkan di TV. Bagi watak yang jahat pula pasti mempunyai rupa paras yang hodoh dan menakutkan. Kita seolah-olah mengatakan bahawa orang yang baik2 pasti mempunyai rupa paras yang baik2 dan orang yang jahat pasti mempunyai rupa paras yang buruk dan menjijikkan. Realitikah itu?

Nah, sekali lagi kita dapat lihat betapa Allah Maha Adil. Dia tidak memandang pada rupa dan zahir seseorang melainkan apa yang ada di dalam hati mereka. Cantik tak semestinya baik dan hodoh tidak semestinya berperangai buruk, malahan ramai orang yang kekurangan dari sifat fizikal tetapi kaya iman dan budi bahasanya.

Jadi, siapa kita untuk terus mempersoalkan takdir Allah? Bersyukurlah yang kita telah diciptakanNya, diberikan rahmat dan nikmat olehNya, dan beramallah sebanyak mungkin kerana tempat kembali kita adalah kepadaNya..

Wallahuallam.