Thursday, May 26, 2011

KISAH ABU NAWAS

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Pada suatu hari, Abu Nawas pergi ke pasar dan berteriak kepada orang ramai.

"Wahai penduduk Baghdad, sesungguhnya aku benci kepada hak, aku cinta kepada fitnah, dan dalam beberapa tahun ini aku lebih kaya daripada Tuhan"

Penduduk Baghdad gempar mendengar kata-kata Abu Nawas tersebut. Masakan tidak, kata-kata tersebut adalah kata-kata seorang hamba yang sombong.


Mereka segera melaporkan hal tersebut kepada Khalifah, dan Abu Nawas dititahkan untuk menghadap Khalifah dengan segera.

"Wahai Abu Nawas, kamu akan dipenjarakan!" titah Khalifah dengan wajah yang merah padam menahan marah.

"Wahai Khalifah yang bijaksana, apakah kesalahanku?" tanya Abu Nawas.

"Kata-kata kamu telah mencetuskan kekecohan. Kamu adalah hamba ALLAH yang sombong. Kata-kata kamu boleh membawa kepada MURTAD..!!!!"

"Wahai Khalifah, sesungguhnya kata-kataku adalah satu kebenaran. Bukan sahaja aku, malahan Khalifah juga begitu,"

"Aku? Jelaskan kata-katamu wahai Abu Nawas!"

"Wahai Khalifah, sesungguhnya aku benci kepada yang hak. Bukankah kematian itu suatu yang hak? Siapakah yang suka kepada kematian? Bahkan setiap orang benci kepada kematian,"

"Jadi, apa pula maksudnya kamu cinta kepada fitnah?" tanya Khalifah, mulai tertarik dengan kata-kata Abu Nawas.

"Wahai Khalifah, bukankah wanita dan anak-anak itu adalah fitnah? Dan bukankah Tuanku juga suka kepada wanita dan anak-anak?"

"Hmmm...tetapi kamu mengatakan bahawa kamu lebih kaya daripada Tuhan. Bukankah kata-kata itu adalah kata-kata orang yang takbur?"

"Sabar wahai Khalifah. Sesungguhnya aku mempunyai ramai anak tetapi Tuhan tidak mempunyai anak, maka bukankah aku lebih kaya daripada Tuhan?"

"Jadi, apakah sebenarnya tujuan kamu berkata begitu kepada orang ramai?"

"Untuk mengingatkan bahawa mati itu adalah pasti, wanita dan anak-anak adalah fitnah, dan sesungguhnya ALLAH itu Maha Esa,"



*Kesahihan kisah ini tidak dapat dipastikan kerana diambil daripada sebuah buku. Apapun, mana yang baik jadikan teladan, mana yang buruk jadikan sempadan.



Yang Ikhlas, 
Cahaya Permata Syurga

1 comment: